KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan pihaknya telah selesai mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Isnin.

Jelasnya, Abdul Hadi hanya menjawab lima daripada 24 soalan yang dikemukakan, dan selebihnya akan dijawab di mahkamah.

"Kita dah ambil keterangan beliau di Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada jam 11.30 pagi tadi (Isnin). Ada 24 soalan kita kemukakan, Tan Sri Abdul Hadi menjawab lima daripada soalan tersebut, baki 19 lagi soalan akan dijawab di mahkamah.

"Dia disiasat bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 (Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998).

"Tugas polis menyiapkan siasatan dan kertas siasatan kita akan panjangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan cadangan untuk dituduh di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 sama ada dituduh atau tidak itu bergantung kepada penilaian AGC," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi selesai diambil keterangan oleh pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Pejabat Pas Pusat.

Menurut Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, rakaman keterangan itu berlangsung selama satu jam dan turut dihadiri peguam mewakili Abdul Hadi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia berhubung kenyataan Abdul Hadi yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar di Johor minggu lalu.